Pemujaan Empat anak Horus

Anak-anak Horus digambarkan pada bunga teratai di hadapan takhta Osiris, dari kuil zaman Ptolemaik di Deir el-Medina, abad ketiga SM

Anak-anak Horus tidak dipuja seperti yang biasa dilakukan dengan dewa-dewa besar Mesir, dan mereka muncul hanya untuk konteks pengebumian.[2] Mereka ada peranan kecil dalam upacara dari Papirus Ramesseum Dramatis—yang agak serupa dengan upacara pengebumian tetapi tidak pasti tujuannya[13]—tetapi mereka paling kerap ditemui di dalam makam.[2] Dari Kerajaan Pertengahan dan kemudian, mereka hampir selalu digambarkan atau diseru dalam hiasan keranda, sarkofagus dan barangan takar kanopi.[2] Semasa Kerajaan Baru lewat, balang-balang yang mengandungi usyabti, sejenis patung yang biasa diletakkan bersama si mati, diberikan penutup berbentuk seperti kepala anak lelaki Horus, serupa dengan penutup takar kanopi.[10]

Pada Dinasti Kedua Puluh Kerajaan Baru (1189–1077 SM), jurumumia mula meletakkan patung-patung lilin anak-anak Horus di dalam badan.[2] Tidak lama selepas itu, pada permulaan Tempoh Perantaraan Ketiga, orang Mesir berhenti menyimpan organ dalam takar kanopi dan mula mengawet setiap organ satu per satu, membungkusnya bersama patung lilin yang sepadan dan memasukkannya balik ke dalam badan. Pengebumian orang kaya masih meletakkan takar kanopi tetapi tanpa organ di dalamnya.[9] Menjelang penghujung tempoh ini, empat anak lelaki Horus juga digambarkan pada azimat-azimat faience yang dipasang pada baltuan luar mumia.[2] Dalam tempoh ini, hiasan keranda berbentuk manusia menempatkan anak-anak Horus berhampiran perut mumia daripada di sekeliling keranda, menandakan hubungan mereka dengan organ dalaman sudah membayangi peranan mereka yang lain.[7]

Takar kanopi berhenti digunakan pada Zaman Ptolemaik awal (303–30 SM), dan penggunaan peti kanopi pupus pada pertengahan tempoh itu.[9] Namun pada zaman Ptolemaik dan Rom, anak-anak Horus tetap ada pada barang-barang pengebumian lain, seperti selongsong stuko berhias pada mumia yang telah dibalut.[2] Satu set arahan untuk proses pemumiaan, dari abad pertama atau kedua Masihi, mengarahkan empat pegawai untuk berlakon sebagai anak-anak Horus ketika tangan si mati dibalut.[14] Anak-anak Horus terakhir disebut pada barang-barang pengebumian dari abad keempat Masihi, dekat penghujung adat pengebumian Mesir purba.[2]